Sabtu, 20 Februari 2016

Tak Siap Homework, Guru Tampar Pipi 12 Murid

KOTA KINABALU - Gagal menyiapkan latihan kerja rumah, 11 murid tahun empat mendakwa mereka ditampar oleh guru dalam kejadian di SK Sarang Kota Belud di Kota Belud, Selasa lalu.

Dalam kejadian pada jam 9 pagi itu, hukuman itu dilakukan oleh seorang guru lelaki, 50 tahun di dalam bilik darjah.

Ekoran kejadian itu, salah seorang kakak kepada murid berkenaan, Sherlyn Madawai, memuat naik luahan tidak puas hatinya di laman Facebook.

"Adik saya dan 11 rakannya bukan sahaja dimarahi dengan teruk, tetapi ditampar, diterajang, dicekik dan kepala mereka dihentak di atas meja. Kejadian itu membuatkan adik saya masih trauma sehingga kini.

"Hanya kerana 12 murid itu tidak dapat menyelesaikan latihan kerja rumah yang diberikan iaitu membuat ayat untuk subjek Bahasa Melayu. Apa pun sebabnya, guru terbabit tiada hak untuk membelasah mereka seperti itu.

"Apa yang menyedihkan ialah bila ibu bapa murid yang terlibat datang meminta penjelasan, pihak sekolah melarang ibu bapa membuat sebarang laporan polis. Begitukah peraturan sekolah sekarang? 12 murid diterajang, kepala dihentak di meja, tak boleh lapor polis. Kalau ada murid yang mati, macam mana?" katanya.

Menurut Sherlyn, guru terbabit pernah mengajar mereka di waktu persekolahannya dahulu. Dia dan rakannya juga pernah ditampar, dibaling dengan kasut hanya kerana tidak menyanyi serentak semasa kelas muzik.

"Masa itu kami masih kecil dan tak boleh buat apa-apa sebab tiada handphone, tiada 'line' di kampung. Nak pergi buat laporan polis pun susah sebab jalan teruk.

"Ya, orang kampung tidak tahu apa-apa tetapi itu tidak bermaksud guru-guru boleh bertindak ganas seperti itu pada anak didiknya," katanya.

Selain itu, Sherlyn juga mendakwa guru terbabit kuat berjudi dan kerap tidak masuk ke kelas walaupun pihak PIBG sudah banyak kali membuat aduan pada pihak sekolah, namun tiada tindakan.

Sherlyn meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap guru berkenaan dan ibu bapa murid yang terlibat juga sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Abdul Bakrin Mohd Yusof berkata, pihaknya telah memanggil dan mendapatkan keterangan dari guru dan murid yang terlibat.

Tiada ulasan:
Write ulasan