Sabtu, 20 Februari 2016

Siti Nordiana 'Beringat' Tidak Berbelanja Mewah

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana memberitahu dia tidak berbelanja mewah dengan membeli barang-barang berjenama biarpun kini mampu memilikinya.

Siti Nordiana atau lebih mesra dipanggil Nana, 32, berkata, hasil pendapatan nyanyian dia memilih untuk menyimpan demi masa depan anaknya, selain sebagai perbelanjaan harian.

"Ya, memang pendapatan kini lebih baik daripada dahulu, tapi itu tidak bermakna saya boleh hidup selesa dan beli barang-barang berjenama.

"Saya selalu beringat dan simpan sedikit duit untuk anak saya. Cita rasa saya terhadap pakaian dan beg tangan masih sama seperti dahulu iaitu hanya membeli di butik H&M dan Cotton On saja," ujarnya kepada mStar Online.

Nana berkata demikian ketika diminta komen tentang cita rasa terhadap penampilannya kini selapas kembali mendapat perhatian media dan masyarakat.

Dia juga menyifatkan dirinya sebagai seorang yang kedekut untuk berbelanja kepada perkara yang tidak berbaloi.

"Saya ni kedekut sedikit, kalau beli barang mahal saya akan berkira-kira sama ada ia berbaloi atau tidak.

"Tapi, saya akui tidak salah untuk beli barang berjenama jika berkemampuan, setiap wanita ingin rasa kepuasan bekerja dengan beli beg tangan berjenama, terpulang kepada individu sebab ia subjektif.

"Cuma saya sahaja yang terlalu banyak berfikir dan beli apa yang penting sahaja," ujarnya.

Katanya, mikrofon adalah barangan termahal yang dibelinya sejak popular semula selepas menjuarai program Gegar Vaganza musim kedua pada Disember lalu.

Bagaimanapun, ia bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya sebagai keselesaan ketika bekerja sahaja.

"Paling mahal yang saya beli ialah mikrofon tapi tidaklah sampai puluhan ribu. Bukan niat untuk menunjuk-nunjuk cuma ia untuk kerja sahaja," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nana teruja untuk kembali berlakon untuk sebuah drama bersiri dibawah arahan Micheal Ang tidak lama lagi.

"Bulan depan akan mula penggambaran drama 16 episod dengan Micheal Ang, saya tidak sabar kerana sudah lama tidak berlakon.

"Dulu ada berlakon untuk VCD sahaja dan kini dapat berlakon di slot popular di Astro Ria, saya harap lakonan saya tidak mengecewakan," ujarnya.

Buat masa ini dia masih belum diberitahu tajuk dan pelakon lelaki yang bakal terlibat dalam drama tersebut.

Tiada ulasan:
Write ulasan