Sabtu, 6 Februari 2016

'Saya Tidak Akan Berpaling Daripada Perjuangan Tegakkan Kebenaran' - Muhyiddin

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan pandangan beliau mengenai situasi semasa yang berlaku di dalam negara menerusi laman Facebook miliknya dan berharap Malaysia kembali pulih.

Dalam kenyataan tersebut, Muhyiddin berkata sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik dan berpengalaman terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa negara berada dalam situasi yang serumit hari ini.

"Ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti ada orang yang bertanya apa sudah jadi dengan Malaysia. Ternampak di wajah mereka satu perasaan yang sukar digambarkan. Kecewa, putus harap, bimbang, berang semuanya ada.

"Malah ada yang mengatakan bahawa mereka sudah naik mual dengan apa yang berlaku. Mereka sudah tidak percaya lagi kepada orang yang diamanahkan untuk memimpin kerana ramai yang mengkhianati amanah," katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun jelas tergambar perasaan kecewa di kalangan orang yang ditemuinya, jauh di sudut hati mereka masih menaruh harapan agar Malaysia dapat diselamatkan daripada menjadi sebuah negara gagal.

"Ini permulaan kepada satu perjuangan. Perjuangan untuk memulihkan Malaysia. Perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik," katanya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup, beban cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan masalah yang dihadapi rakyat susulan kejatuhan nilai ringgit.

Pada masa sama beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap siasatan ke atas laporan salah laku dan rasuah membabitkan kes 1Malaysia Developmen Berhad (1MBD) dan SRC International diarahkan ditutup.

"Apa sudah jadi dengan negara kita? Kita tahu bahawa sebelum ini terdapat penjawat awam, ahli perniagaan dan ahli politik yang disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum kerana menyalahgunakan dana awam dan menerima rasuah.

"Tetapi dalam skandal kewangan terbesar di negara kita yang melibatkan 1MDB dan SRC International, tiada sesiapa pun didakwa.

"Malah terdapat pihak yang secara terang-terangan mempertahankan dan melindungi salah-laku orang-orang tertentu walaupun saya tahu jauh di sudut hati mereka, mereka juga tahu apa yang berlaku," katanya.

Menurut Muhyiddin, kemelut membabitkan dua kes tersebut tidak akan terungkai dan pelbagai cerita akan direka untuk mengaburi mata rakyat demi melindungi salah laku individu tertentu.

"Keadilan yang ditagih tidak akan tertegak dengan mudah. Awan gelap akan terus meliputi negara kita untuk beberapa ketika," katanya.

Justeru, beliau menegaskan tidak akan berpaling daripada perjuangan menegakkan kebenaran.

"Bagi saya, dalam hidup kita mesti ada prinsip. Prinsip yang paling utama ialah berpihak kepada kebenaran.

"Jangan sekali-kali kita berpihak kepada kebatilan. Sebagai seorang Muslim, ini adalah tuntutan agama," katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan