Jumaat, 12 Februari 2016

Saya Tak Mahu Aida Jebat Tak Selesa Jika Pelakon Lelaki Itu Bukan Pilihannya - Pengarah

PETALING JAYA: Pengarah filem Osman Ali menjelaskan kelonggaran yang diberikan kepada pelakon Ayda Jebat untuk memilih hero filem terbaharunya berjudul Pinjamkan Hatiku hanyalah sekadar dia meminta pendapat.

Osman berkata, perkara tersebut turut dilakukan kepada pelakon-pelakon wanita lain yang pernah bekerjasama dengannya menerusi filem-filem terdahulu.

"Saya beri kelonggaran pada Ayda Jebat untuk pilih hero bukan bermakna keputusan ditanggannya, ia adalah untuk meminta pendapatnya dengan siapa dia selesa bergandingan.

"Bukan Ayda sahaja yang dapat kelonggaran itu, malah heroin-heroin lain sebelum ini seperti Maya Karin atau Lisa Surihani pun saya minta pendapat mereka dahulu dengan siapa yang mereka mahu bekerja," ujarnya kepada mStar Online, pada Khamis.

Osman berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Ayda Jebat bahawa diberi kelonggaran memilih hero untuk filem terbaharu berjudul Pinjamkan Hatiku.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut, menerima pelbagai reaksi pembaca yang menganggap pengarah tersebut bersikap pilih kasih dengan memberi keistimewaan kepada pelakon wanita itu.

Tambah Osman, dia berbuat demikian supaya keserasian antara gandingan tersebut menjadi lebih mudah yang akhirnya dapat menghidupkan jalan cerita filem berkenaan.

"Bagi saya penting jika mereka serasi untuk menghidupkan watak dalam sesebuah filem. Saya tidak mahu pilih hero yang dia tidak suka, yang mana akan menimbulkan masalah pula ketika penggambaran.

"Namun begitu, tidak semestimya pilihan mereka saya terima seratus peratus kerana ia akan dibincangkan pula dengan pihak penerbit.

"Misalnya Ayda mahukan Zul Ariffin sekalipun dan watak tersebut ialah seorang lelaki sakit yang menunggu ajalnya, mana boleh ia dilakonkan pelakon betubuh sasa pula," ujarnya.

Dalam pada itu, Osman berkata, dia memilih Ayda dalam filem terbaharu ini bagi memberi peluang kepada pelakon-pelakon baharu untuk dibawa ke layar perak.

Katanya, pelakon wanita tersebut mempunyai bakat dan berpotensi untuk diketengahkan menjadi bintang filem.

"Saya mahu cuba pelakon baru pulan dan tidak mahu orang kata saya asyik ambil muka yang sama sahaja.

"Lagi pula saya pernah bekerjasama dengan Ayda untuk sebuah telefilem Nawaitu Cinta dan melihat kegigihan dia sebagai seorang pelakon. Apa salahnya kita cuba bawa di ke dunia filem pula," ujarnya.

Filem Pinjamkan Hatiku ini bakal memulakan penggambaran pada Mac depan di beberapa lokasi di dalam dan luar negara.

Ia dijangka bakal ditayangkan pada Disember 2016

Tiada ulasan:
Write ulasan