Sabtu, 27 Februari 2016

Raja Azmi & Eddie Sah Bergelar Suami Isteri Buat Kali Kedua

AMPANG: Dengan dua kali lafaz, penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman sah bergelar isteri kepada gitaris kumpulan CRK, Mohd Eddie Ghazali.

Ia adalah pernikahan kali kedua Raja Azmi, 57, dengan Mohd Eddie selepas pasangan berkenaan bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.

Raja Azmi dan Mohd Eddie, 48, berkahwin buat kali pertama pada 13 Oktober 2013.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan dinikahkan di Surau Sering Ukay, Ukay Perdana yang dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat.


Akad nikah berkenaan disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Al- Ridhuan Ulu Klang di sini kira-kira pukul 10.15 malam.

Raja Azmi diwakil walikan oleh adiknya iaitu Raja Azhar Raja Sulaiman.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin berjumlah RM300 manakala tiada sebarang wang hantaran disediakan.

Sementara itu, Raja Azmi ketika ditemui berkata, bersyukur diberi peluang untuk kembali bergelar isteri kepada Eddie.

"Saya berharap ini adalah keputusan yang terbaik buat kami berdua," katanya.

Eddie yang merupakan pemain bes kumpulan rock 1990-an iaitu CRK yang sebelum ini seorang duda selepas isterinya meninggal dunia pada Januari 2008.

Hasil perkahwinan pertama Eddie, dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Daniel, 24 dan Mohd Effy, 22.

Manakala Raja Azmi pula mempunyai tiga orang anak iaitu Puteri Suraya, 31, Puteri Suaida, 27, dan Megat Deli, 22, hasil perkahwinannya dengan jurulatih badminton negara, Jalani Mohamad Sidek.

Mereka bercerai dengan talak satu pada 27 Jun 2012.

Tiada ulasan:
Write ulasan