Khamis, 4 Februari 2016

“Pergilah Sayang, Mama Redha” – Bisikan Pilu Terakhir Si Ibu Redha ‘Pemergian’ Anaknya

Assalamualaikum. Hari ni genap 13 hari Ilyas pulang ke Rahmatullah. Masih ada yang tertanya2 bagaimana semua ni berlaku sedangkan baru lihat arwah Ilyas sihat & lincah setiap kali bertemu dengan saya & Ilyas. Dan ada yang bertanya bagaimana keadaan saya serta keluarga sekarang? Alhamdulillah saya & keluarga sihat. Cuma kadang2 perasaan rindu tu terhadap arwah tidak dapat saya gambarkan kerana arwah Ilyas sentiasa bersama saya. Ketika saya menyediakan makanan, ketika basuh pinggan mangkuk, ketika mengemas bilik dan ruang tamu, ketika menyidai pakaian, ketika melipat baju, ketika mengambil & menghantar kakak serta abang ke sekolah atau ngaji, ketika pergi ke kedai, adakalanya ketika menjahit. AllahuAkbar setiap sudut di ruang rumah ni tersimpan memori bersama arwah. Tapi saya sedar setiap apa yang kita ada 'bukan milik kita', semua milik Allah swt. Hanya Allah swt yang mampu memberi & berhak mengambilnya semula. Setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya, saya percaya dengan percaturan Allah swt terhadap saya & keluarga.

Di sini saya cuba ceritakan saat2 akhir bersama arwah. Tiada langsung tanda2 arwah hendak pergi meninggalkan kami. Pada hari Khamis 14 Januari, anak kedua berusia 10 tahun mengadu sakit perut & cirit lepas pulang dari sekolah. Saya sangkakan dia tersalah makan dan saya nasihatkan dia mengambil air & supplemen yang telah tersedia di rumah. Esoknya hari Jumaat 15 hb bangun pagi arwah mengadu sakit perut dan muntah bila minum susu & cirit sedikit. Terus bawa Ilyas ke klinik. Tengah hari muntah dah kurang, masih cirit tapi x banyak. Ilyas x nak minum susu mungkin masih rasa loya, tapi petang ilyas makan nasi sup macam biasa. Malam pula ilyas makan ayam 'uncle bob' (isi ayam celup tepung) sambil tonton televisyen bersama kakak2 & abang2. Muntah dah xda. Cirit masih ada tapi x kerap kerana pengambilan ubat mengikut waktu. Lewat malam, Ilyas ada demam sikit, Saya lap2 badan ilyas hingga pagi. Sepanjang tengah malam ke pagi Ilyas cirit 2-3 kali.
Pagi Sabtu 16 hb, saya lihat Ilyas masih demam & nampak lemah sikit. Saya buat keputusan untuk bawa Ilyas ke hospital. Doktor panel yang rawat Ilyas cadangkan suruh Ilyas admit. Pukul 11 pagi tiba di hospital swasta dan Ilyas admit pukul 12.58. Pukul 1.15 Ilyas seperti meracau-racau (tarik) beberapa kali di pangkuan saya & suami. Saya ada maklum pada staff nurse. Selepas itu Ilyas tidur. Saya pun tertidur.
Bila tersedar lebih kurang pkl 2.58 saya terus pegang tangan Ilyas, kuku jari tangan & kaki Ilyas pucat & sejuk. Mulut Ilyas juga pucat. Lagi sekali saya maklum pada doktor. Saya rasa x sedap hati. Kemudian doktor cadangkan supaya Ilyas transfer ke GH kerana mereka kekurangan pakar & peralatan. Cadangan doktor kami terima. Pukul 4.32 Ilyas di transfer ke PICU Hospital Permaisuri Bainun. Ilyas masih tidak sedarkan diri.
Tibanya di PICU doktor maklum bahawa akan buat yang terbaik & minta saya berdoa kerana keadaan Ilyas kritikal. Sekali lagi Ilyas 'tarik' & doktor beritahu Ilyas sudah kekurangan oksigen di bahagian otak. AllahuAkbar satu berita yang tidak dapat saya terima waktu itu. Sedangkan waktu pagi Ilyas masih bercakap-cakap & minta susu seperti biasa. Tapi hati saya kuat mengatakan Ilyas akan sedar! Ilyas kuat!
Hari Ahad 17 hb, Ilyas masih tidak sedar, pelbagai ubat & antibiotik dimasukkan untuk 'support' Ilyas. Doktor maklum hanya menunggu respon dari Ilyas kerana Ilyas tidak diberi ubat tidur & memaklumkan bahawa bersedia sebarang kemungkinan Ilyas akan pergi. Sejak Ilyas admit PICU oksigen di bahagian otak makin berkurangan. Fungsi otak kian merosot. Luluh hati saya dan suami ketika menerima perkhabaran ketika itu. Doktor memberi kebenaran untuk kakak2 & abang2 Ilyas walaupun berumur 5 tahun untuk datang melawat Ilyas. Semua ahli keluarga, ibubapa saudara, sepupu serta jiran tetangga yang mengenali Ilyas turut datang melawat Ilyas. Tidak putus2 doa & kata2 semangat yang disampaikan.
Hari Isnin 18 hb, keadaan Ilyas masih sama, tidak menunjukkan tindakbalas. Setiap kali berada di sisi Ilyas bacaan yasin, doa & zikir tidak pernah lekang dibibir memohon kebesaran Allah swt untuk menyembuhkan Ilyas. Setiap kali itu juga, saya akan belai & urut-urut Ilyas disamping berbual & memanggil nama Ilyas atau adik. Bercerita tentang mainan, kartun & makanan kegemarannya. Doktor pakar maklum untuk berjumpa saya & suami dan menerangkan kondisi Ilyas. Doktor memaklumkan Ilyas xda harapan untuk sembuh, bekalan oksigen di otak Ilyas sudah berkurangan, Sistem dalam badan Ilyas juga akan berhenti berfungsi satu persatu. Seperti satu tamparan yang kuat singgah di pipi tapi saya tak dapat merasakannya tapi hanya linangan airmata yang laju turun mencurah2 di pipi. Saya tidak dapat mendengar lagi penerangan doktor ketika itu. Tetapi saya tidak terus mengalah solat, bacaan yasin, zikir & doa tetap saya teruskan. Mengharap keajaiban Allah swt.
Hari Selasa 19 hb keadaan Ilyas masih sama. Doktor maklumkan bahawa fungsi ginjal Ilyas menunjukkan negatif. Jumlah ubat & air yang masuk tidak sama dengan urin yang keluar. Keadaan saya tenang ketika itu, saya hanya berserah pada Allah swt. Lepas maghrib semasa urut kaki Ilyas macam ada tindakbalas tp doktor kata 'refleks'. Tapi hati kuat kata Ilyas akan sedar. Saya meneruskan rutin saya seperti biasa membelai & mengurut Ilyas disamping berbual & memanggil nama Ilyas atau adik.Kadang-kadang saya mainkan video nyanyian Ilyas atau kartun upin ipin & boboiboy kegemarannya. Hingga x sedar airmata mengalir kerana terlalu rindu dengar Ilyas memanggil 'mama' atau memeluk tubuh gebu Ilyas.
Hari Rabu 20 hb,Kali ini kaki Ilyas bergerak kuat setiap kali saya urut tapak kaki Ilyas. Saya rasakan Ilyas memberi kesan yang positif. Namun jawapan doktor masih sama, itu hanya 'refleks'.
Hari Khamis 21 hb, selesai lawatan doktor-doktor pakar, salah seorang menghampiri saya dan berkata, 'Ibu sudah tahu kan, keadaan Ilyas sekarang'. Saya hanya mengangguk. Dalam hati saya terus berdoa, moga kata-kata doktor salah. Dr menyambung lagi 'Semua adik beradik sudah datang lihat adik Ilyas' Lagi sekali saya mengangguk & mengucapkan terima kasih kerana bagi kelonggaran masa melawat Ilyas untuk ahli keluarga.
Masuk waktu Zohor saya terus kembali ke bilik menunaikan solat & menjamah sedikit makanan. Setelah selesai saya terus ke katil Ilyas untuk memulakan rutin biasa. Saya memberi 'Salam' dan mengusap rambut Ilyas. Dahi Ilyas saya kucup, rasa agak dingin. Bahagian mata Ilyas juga nampak sedikit pucat. Telinga Ilyas juga dingin, terdetik di hati 'Ya Allah adakah Ilyas?' Nauzubillah minta di jauhkan, saya masih sayangkan Ilyas.
Semasa nak mula urut kaki Ilyas, terpandang mesin Ilyas, bacaannya 'drop' sedikit demi sedikit. Terus maklum pada nurse, bila nurse terpandang mesin tersebut terus minta saya keluar sebentar. AllahuAkbar Ilyas, terus saya maklum pada suami ketika itu jam 2.22 petang. Lepas tu saya terus ke katil Ilyas mohon berada di samping Ilyas. Permohonan saya diterima, saya lihat ketika itu nurse lelaki cuba membuat CPR ke atas Ilyas, agak kuat juga tekanan CPR ke atas Ilyas yang masih kecil. Di samping berdoa saya bertanya pada staff nurse berapa lama CPR ini dilakukan, katanya akan mengambil masa 20 minit sehingga jantung Ilyas berdegup semula. Ubat adrenalin juga disuntik untuk bantu kuatkan degupan jantung. Tangan bertukar tangan membuat CPR ke atas Ilyas. Tak sanggup rasanya melihat keadaan Ilyas ketika itu. Saya terus mengarahkan untuk memberhentikan CPR walaupun belum cukup 20 minit seperti yang diberitahu, saya terus menghampiri Ilyas dan berkata
'Ilyas pergilah sayang, mama redha sayang, mama sayang ilyas sgt2' sambil mengucup dahi pipi ilyas, Tubuh Ilyas saya peluk erat,
AllahuAkbar saya tidak dapat gambarkan perasaan saya ketika itu. Selama 3 Tahun 4 bulan saya bersama-sama Ilyas, kini Ilyas pergi buat selamanya jam 2.40 petang. Sungguh berat ujian Allah swt berikan pada saya. Saya mengambil berat tentang 'hati' Ilyas namun Ilyas pergi bukan sebab masalah hati, tetapi akibat jangkitan kuman muntah cirit. Namun saya redha. Hingga kita bertemu kembali di Jannah sayang. Ketahuilah mama & lain2 sentiasa rindukan Ilyas. Maafkan mama jika ada terkasar & tertinggi suara sepanjang mama menjaga Ilyas. Mama cuma manusia yang tidak lepas melakukan kesalahan.
Sayang Ilyas....

Tiada ulasan:
Write ulasan