Ahad, 14 Februari 2016

Ola Bola Ubah Hidup Luqman Hafidz

SEBELUM ini graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dalam bidang Ukur Tanah hanya remaja biasa. Namun filem Ola Bola secara tidak langsung mengubah hidup Muhammad Luqman Hafidz Mohd Fauzi, 25.

Menjayakan watak Ali, kata Luqman, semenjak filem ini mendapat sambutan hangat di pawagam, orang mula menegurnya dengan nama Ali.

"Tidaklah sampai serbu, tapi apabila lalu, ada yang panggil nama Ali. Malah ada juga kawan lama masa sekolah yang hubungi saya semula dan saya rasa seronok," katanya.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya di dalam filem ini, Luqman berkata, ketika sibuk menyiapkan resumenya, dia mendapat mesej yang mengatakan jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN) mencari pemain bola amatur untuk satu projek melibatkan Astro.

"Saya hanya cuba nasib dengan hantar resume dan gambar selfie saya bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin. Gambar itu diambil ketika saya memenangi anugerah pemain terbaik dalam ‘YB Khairy Jamaluddin Cup’ pada 2014 semasa di universiti.

"Enam bulan selepas itu, saya dipanggil menjalani uji bakat dan seterusnya dipilih menjayakan watak Ali," katanya.

Menyimpan rambut selama enam bulan untuk watak Ali seperti dikehendaki pengarah, Luqman mendedahkan, biar pun sekadar bermain untuk Malaysia di dalam filem, namun dia merasai semangat permainan seolah-olah bermain untuk negara.

"Memang tak dinafikan rasa seperti main betul-betul, seperti cita-cita tercapai.

"Tekanan tetap ada kerana kita nak tunjukkan kehebatan legenda bola sepak," katanya.

Luqman berkata, antara babak paling sukar dijayakan ketika menentang pasukan Filipina yang memaksa mereka mengulangi babak sama sehingga 55 kali.

"Tapi pengarah beri semangat pada kami dan berkata, dia tak mahu kami menyesal melihat babak itu di pawagam nanti," katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan