Sabtu, 6 Februari 2016

Nafi Dirinya Mengada-ngada, Siti Nurdiana Ada Sebab Pakai Mikrofon Sendiri


KUALA LUMPUR: Bukanlah perkara baharu dalam dunia muzik apabila penyanyi menggunakan mikrofon sendiri ketika beraksi di atas pentas.

Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah ialah antara penyanyi yang menggunakan mikrofon sendiri ketika mengadakan persembahan.

Tidak terbatas pada golongan artis semata-mata, ada juga pengacara yang berbuat demikian seperti Datuk AC Mizal dan Fara Fauzana. Masing-masing mempunyai alasan sendiri ketika ditanya mengenai kesanggupan mereka mengeluarkan belanja hingga berpuluh ribu ringgit bagi tujuan berkenaan.

Terbaharu, menambahkan lagi bilangan artis yang menggunakan mikrofon sendiri ialah juara Gegar
Vaganza (GV) musim kedua, Siti Nordiana.

Menurut penyanyi berkulit hitam manis ini, pada awalnya beliau segan untuk menggunakan mikrofon khas kerana bimbang disalahertikan. Bagaimanapun, demi memantapkan nyanyiannya, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana sanggup mengetepikan perasaan sedemikian.

"Nana mula menggunakan mikrofon sendiri ketika menjayakan Konsert Mega Gegar Vaganza yang berlangsung di Istana Budaya, bulan lalu. Ketika mula-mula ingin menggunakannya, memang Nana rasa sangat segan. Bimbang juga jika ada yang ingat Nana mengada-ngada, walhal tujuannya adalah untuk memantapkan lagi vokal Nana.

"Guru vokal, Cikgu Syafi, ada memberitahu suara Nana perlahan dan memerlukan mikrofon khas bagi menguatkan lagi bunyinya. Bukanlah nak kata peralatan disediakan penganjur tidak bagus, cuma apabila mempunyai mikrofon sendiri, jurutera bunyi akan memprogramkan ia mengikut suara Nana," jelas sambil memberitahu,

Misha antara penyanyi yang menggalakkan dirinya berbuat demikian.
Penyanyi berusia 31 ini ditemui ketika menghadiri majlis sidang media program percutian Hola Espana bersama Siti Nordiana di ibu negara, petang tadi.

Mengulas pembabitannya dalam aktiviti anjuran Mycentrio Holiday itu, Nana berkata, ia adalah hadiah yang ditawarkan sebagai pemenang GV2.

"Sebelum ini, Nana memang tidak pernah terfikir untuk melancong ke Madrid. Paling jauh Nana pernah sampai ialah Mesir, bersama kumpulan Usrah Fitrah.

"Apabila Nana lihat balik lokasi yang bakal dikunjungi, memang tidak sabar rasanya. Anak Nana, Rayyan, adalah orang yang paling teruja untuk bercuti ke sana," katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan