Isnin, 8 Februari 2016

Mukhriz Mulakan Misi Balas Dendam Terhadap Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memulakan serangan pertama ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas seminggu beliau diarah meletak jawatan.
Mukhriz menggunakan ‘senjata’ sama yang sering digunakan bapanya iaitu mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bagi memburuk-burukkan kerajaan iaitu isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mukhriz turut dilihat berusaha menyeret institusi diraja dalam percaturan politiknya sekali lagi selepas gagal mempergunakan institusi itu untuk mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah sebelum ini.

“Saya dengan penuh hormat dan takzimnya saya merayu kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku Sultan dan Tuan Yang Terutama Yang DiPertua-Yang DiPertua Negeri semoga mengarahkan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara melaporkan kepada Majlis Raja-Raja mengenai siasatan-siasatan mereka mengenai 1MDB secara telus dan benar tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Jika ini tidak dapat dilakukan atau berlaku campur tangan oleh pihak yang disiasat atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai, maka saya merayu kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mukhriz sebelum ini enggan meletak jawatan kerana mendakwa mendapat sokongan institusi diraja Kedah yang kononnya turut murka dengan UMNO negeri itu kerana mahu menggantikan beliau dengan orang lain.

Keputusan Majlis Jemaah Pemangku Diraja Kedah bagaimanapun memaklumkan, Mukhriz tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah maka beliau diminta meletak jawatan.

Mukhriz yang berang dengan keputusan itu kemudiannya mendakwa Najib pernah memaklumkan kemarahan beliau kepadanya kerana membuat kenyataan terbuka mengenai 1MDB dalam satu majlis di ibu negara pada Disember 2015.

“Najib sendiri menyatakan kepada saya bahawa ucapan itulah yang menimbulkan rasa marah beliau terhadap saya mengakibatkan saya dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah,” ujarnya.

Tiada ulasan:
Write ulasan