Isnin, 8 Februari 2016

'Minat Berlakon Semakin Pudar' - Sara Ali

PETALING JAYA: Pelakon Sara Ali mengakui minatnya terhadap bidang lakonan semakin lenyap sejak setahun lalu kerana sering diberikan watak yang sama.

Sara atau nama sebenarnya Siti Sarah Hairi Ali, 26, berkata, sebagai seorang pelakon dia ingin mencabar dirinya melakukan sesuatu berbeza namun keterbatasan peranan ditawarkan menyebabkan perasaan bosan itu semakin menebal.

"Jujur saya katakan rasa cinta dan minat terhadap lakonan itu semakin pudar kerana tiada perkembangan dalam karier disebabkan sering diberikan peranan yang sama.


"Jiwa terhadap lakonan sudah hilang dan saya sendiri tidak tahu sampai bila rasa itu akan berlarutan kerana pada satu tahap saya masih berharap akan diberi tawaran berbeza daripada apa pernah saya lakukan sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Sara berkata, dia yakin perasaan tersebut bukan sahaja dialami olehnya malah kebanyakan pelakon lain yang menghadapi dilema sama sepertinya.

Bagaimanapun katanya, itu tidak bererti dia ingin menarik diri daripada bidang lakonan sebaliknya akan lebih selektif terhadap tawaran diberikan kepadanya.

"Bukan saya kata tidak ada langsung tawaran menarik daripada produksi tetapi ia sangat kurang dan dilema ini bukan sahaja dihadapi oleh saya tetapi ramai pelakon lain merasai benda sama," ujarnya.

Sementara itu, Sara berkata, seperti mana kebanyakkan pelakon wanita bertudung sepertinya, dia juga akan meletakkan beberapa syarat sesuai dengan imejnya.

Tambah Sara, dia tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah kerana banyak wanita bertudung diangkat sebagai teraju utama dalam drama atau filem.

"Syarat yang saya letakkan adalah bersesuaian dengan imej saya dan jika produksi tidak boleh memenuhi permintaan tersebut tidak mengapa.

"Tetapi saya tidak melihat ia sebagai masalah kerana warna pada landskap drama dan filem tempatan hari ini jauh banyak berubah dan tidak meletakkan diskriminasi terhadap pelakon wanita," jelasnya.

Tiada ulasan:
Write ulasan