Sabtu, 6 Februari 2016

Melampau! Jual Alas Kaki Bertulis Ayat Al-Quran

JOHOR BAHRU – Perbuatan dua pemilik kedai serbaneka yang menjual ratusan alas kaki mengandungi ayat suci al-Quran menyebabkan pengunjung terutama umat Islam terkejut kerana menganggap perkara itu sebagai penghinaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, tindakan segera telah pun diambil oleh agensi-agensi berkaitan terhadap premis tersebut pada pagi Jumaat.

Abd. Mutalip berkata, dia yakin tindakan menjual alas kaki yang mengandungi ayat suci al-Quran itu sebagai satu perbuatan yang bermaksud menghina dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Tambah beliau, pihaknya telah merampas barangan-barangan itu setelah menerima aduan daripada pelanggan premis perniagaan di Taman Johor Jaya dan Taman Teratai itu.

“Sebanyak 360 alas kaki yang menggunakan pelapik mengandungi ayat suci al-Quran dirampas dan mengikut maklumat, ia dihasilkan di sebuah kilang di Melaka sebelum dijual di Johor.

“Mungkin ramai peniaga di luar tidak memahami soal sensitiviti umat Islam kerana ia bukan sekadar babit makanan halal, malah perkara membabitkan penggunaan ayat suci al-Quran,” katanya kepada Harian Metro.

Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (PERIMAU), Mohd. Ridhwan Othman pula berkata, pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai perkara itu.

Tambah beliau setiap peniaga perlu berhati-hati berkaitan produk yang dijual supaya kegiatan tidak mereka tidak menjejaskan sensitiviti orang ramai.

Kata beliau juga, perbuatan pemilik kedai tersebut harus dipandang serius dan dikenakan tindakan sesuai supaya dijadikan pengajaran buat peniaga lain.

“Ia bukan saja menjejaskan sensitiviti umat Islam, sebagai masyarakat majmuk kita perlu menghormati agama masing-masing,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan