Ahad, 14 Februari 2016

Liga Super: Vida Puas Hati Kelantan-Perak Kongsi Mata

ETALING JAYA: Meskipun Kelantan sekadar seri 0-0 dengan Perak pada aksi pembuka tirai Liga Super 2016, penaja utamanya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman tetap berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Menurut Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida, keputusan itu boleh dianggap sebagai satu kebanggaan kepada pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) kerana sekurang-kurangnya tidak kalah di gelanggang lawan.

"Saya rasakan K. Devan sudah melakukan tugasnya dengan bagus pada aksi malam ini (Sabtu). Ia juga satu permulaan yang baik untuk Kelantan," katanya kepada mStar Online.

Malah Vida turut memuji prestasi yang ditunjukkan kesebelasan utama pasukan tersebut yang dilihat lebih agresif dan cuba melakukan banyak serangan.

"Secara keseluruhannya, saya berbangga dengan prestasi pemain yang menunjukkan peningkatan ketara. Corak permainan juga semakin menjadi dan wujud keserasian di kalangan pemain," katanya.

Namun, Vida yang juga Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu Devan memantapkan jentera serangan pasukan itu menjelang pertemuan dengan PDRM di gelanggang sendiri Selasa depan.

"Dari segi taktikal sudah nampak sedikit perubahan tapi masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki khususnya di bahagaian serangan yang masih belum cukup berbisa," katanya.

Terdahulu, Perak gagal menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri kerana sukar menjinakkan Kelantan yang terus bertahan sehingga minit terakhir perlawanan.

Kedua-dua pasukan masing-masing berkongsi satu mata.

Sebelum perlawanan bermula, gelagat Vida ketika turun ke padang untuk bertemu dengan pemain Kelantan ternyata mencuri tumpuan ramai.

Malah beliau turut merealisasikan impiannya untuk duduk di bangku simpanan menyaksikan perlawanan bersama pemain sepanjang babak pertama.

Tiada ulasan:
Write ulasan