Sabtu, 20 Februari 2016

Keluarga Sendiri Sebar Gambar Uqasha Senrose, Saya Tak Nak Tuduh Sesiapa - Nelydia Senrose

Bulan lalu, nama pelakon drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Nelydia Senrose, 22, hangat diperkatakan apabila gambar percutian bersama adik-beradiknya ke Pulau Koh Lipe, Thailand tersebar.

Lebih mengejutkan apabila kakaknya yang juga pelakon, Uqasha Senrose tidak bertudung dan berpakaian seksi.

Mengakui terkejut dengan penyebaran gambar itu, Nelydia atau mesra dipanggil Nely tahu dalang di sebalik perkara terbabit.

“Itu adalah percutian kami sekeluarga. Apabila ia tersebar saya yakin orang menyebarkannya juga daripada kalangan kami. Apatah lagi ketika itu ada individu lain bersama kami.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa kerana perkara itu sudah pun berlaku. Mahu bercakap banyak pun tak guna juga sebab semua orang sudah tengok. Kakak saya juga mengakui kesilapannya,” katanya.

Perkara itu bagaimanapun tidak memberi kesan kepada dirinya memandangkan peminat sudah dapat membezakan antara dia dan Uqasha.

“Ketika kakak mula berlakon, tidak dinafikan ramai keliru. Sehinggakan jika ada yang tak kena membabitkannya, orang cakap saya yang buat.

“Pun begitu, sekarang masyarakat sudah boleh membezakan kami. Malah peminat juga lebih bijak menilai. Sesiapa yang melakukan kesalahan, dia perlu tanggung,” katanya.

Menurut Nely lagi, apa pun kontroversi membabitkan kakaknya dia tidak pernah tertekan meski pun masih ada pihak cuba mengaitkan namanya.

“Kami beruntung apabila mendapat sokongan daripada keluarga. Baik atau buruk yang berlaku, mereka sentiasa ada bersama kami. Sekurang-kurangnya mereka lebih tahu apa yang berlaku,” katanya.

Berkongsi mengenai kehidupan peribadinya, Nely yang sudah hampir tujuh bulan memutuskan hubungan dengan pelakon Qi Razali mengakui belum bersedia mencari pengganti.

“Kalau boleh biarlah tahun ini saya fokus dengan kerja. Saya tidak mahu terburu-buru mencari pengganti. Saya bukannya terdesak sangat untuk mempunyai kekasih semula.

“Memandangkan saya baru berusia 22 tahun, jadi masa masih panjang. Mungkin jika belum ada kekasih pada usia 30 tahun, baru saya risau,” katanya.

Menurut Nely, dia tidak mahu ambil mudah dalam soal mencari pasangan. Malah dia tidak berasa tertekan apabila ramai rakannya sudah mendirikan rumah tangga.

Nely turut menafikan hubungannya dengan Qi kembali bertaut selepas dikatakan bercuti bersama pada hujung tahun lalu.

“Walaupun sudah putus, kami tidak pernah bermusuh. Sesekali kami bercakap soal kerja dan tidak lebih dari itu.

“Namun, saya tidak mahu komen lebih-lebih perkara ini kerana kita tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang,” katanya yang mengakui menoktahkan hubungan adalah jalan terbaik buat mereka daripada terus memaksa diri.

Dalam perkembangan lain, Nely yang kini menjalani penggambaran drama Jasmine untuk slot Zehra di TV3 bakal menyambung pengajian di luar negara pada hujung tahun ini.

“Sudah 10 tahun saya dalam industri. Saya mahu mencuba bidang lain kerana yakin mampu melakukannya. Dahulu saya pernah belajar dalam negara, tetapi tidak boleh fokus kerana sibuk berlakon.

“Apabila belajar di luar negara, saya tidak boleh bersikap sambil lewa. Buat masa sekarang saya masih menunggu jawapan beberapa pusat pengajian di London dan Amerika Syarikat,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan