Isnin, 8 Februari 2016

Jangan Politikkan Keputusan Peguam Negara Kaji Semula Hukuman OSA - Zahid

JOHOR BARU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan keputusan Peguam Negara untuk mengkaji semula hukuman Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Beliau berkata, keputusan Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak termasuk pembangkang kerana ia berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Ini harus dihormati. Jika kenyataan peguam negara juga dipolitikkan maka, kita tidak ada asas untuk menolak kerana beliau mahu menegakkan perundangan bukan untuk mempolitikkan sesuatu isu... ini tidak harus dilihat sebagai isu politik oleh sesiapa sahaja termasuk pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perjumpaan Khas bersama Umno Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mahu memulakan kempen media sosial bagi menolak cadangan meminda OSA.    

Ia susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang memetik Mohamed Apandi sebagai berkata bahawa beliau sedang menimbang untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia negara dan mereka yang melaporkan berita tentang rahsia itu.

Peguam negara itu dilaporkan berkata bahawa beliau melihat kepada kemungkinan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah.

Mohamed Apandi berkata, wartawan yang didapati melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang mereka perolehi juga boleh dikenakan tindakan itu.- Bernama

Tiada ulasan:
Write ulasan