Hukum Karma Buat Mukhriz - Raja Petra

KUALA LUMPUR 5 Feb. Perkara yang berlaku terhadap Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah balasan daripada tindak-tanduk beliau sepanjang kemelut jawatan Menteri Besar Kedah baru-baru ini, tidak lebih dan tidak kurang.

Menurut pengendali portal, Raja Petra Kamaruddin, bekas Menteri Besar Kedah itu tidak seharusnya cuba menggambarkan diri sebagai mangsa kerana dalam politik, jika seseorang itu dengan keras menyerang pihak lain, mereka juga kena bersedia berdepan serangan serupa.

Beliau menggunakan teori relatif Albert Einstein dan Isaac Newton untuk menggambarkan perkara yang berlaku terhadap Mukhriz iaitu `untuk setiap perbuatan akan menghasilkan tindak balas yang serupa’.

“Hakikatnya walaupun Mukhriz memperlihatkan diri sebagai mangsa yang tidak berdosa, tetapi sebenarnya beliau berdepan dengan tindak balas yang selari dengan tindak-tanduknya sebelum ini, tidak lebih dan tidak kurang.

“Ini adalah hukum karma. Jika kita menggunakan kekerasan, balasan yang kita terima juga adalah kekerasan. Hal yang sama berlaku dalam politik, tidak mungkin serangan kita tidak dibalas dengan serangan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Malaysia Today hari ini.

Mukhriz yang kepemimpinannya ditolak UMNO Kedah pada mulanya bertegas enggan melepaskan jawatannya sehingga menyebabkan politik di negeri Jelapang Padi itu berada dalam keadaan tidak menentu selama dua minggu.

Walau bagaimanapun, krisis itu berakhir apabila Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu bermula semalam.

Dalam hal itu, Raja Petra menjelaskan, Mukhriz melakukan percaturan politik yang salah apabila memilih pendekatan berkonfrontasi dalam kemelut berkenaan.

Katanya, langkah Mukhriz yang bergantung harap kepada sokongan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang selepas ditolak oleh hampir keseluruhan pemimpin UMNO Kedah merupakan pendekatan silap.

“Percaturan Mukhriz bukan sahaja salah, malah beliau juga gagal membuat perkiraan politik tepat. Mukhriz berasakan beliau mendapat sokongan 15 ADUN pembangkang dan yakin memperoleh sokongan tiga ADUN Barisan Nasional (BN) yang mungkin dua daripada MCA dalam menjayakan konfrontasi itu.

“Mukhriz mungkin menganggap musuh politik kepada Perdana Menteri merupakan kawan baginya, tetapi beliau ternyata silap, beliau sebenarnya gagal memahami realiti politik di Kedah secara
keseluruhannya,” katanya.

Ini kerana menurut Raja Petra, pakatan pembangkang sekarang hanya terdiri daripada tujuh ADUN sedangkan lapan lagi terdiri daripada ADUN Pas dan jika undian dibuat dalam kalangan mereka, ADUN Pas akan membuat undian yang berbeza. Sehubungan itu, katanya, jika sekali pun Mukhriz mendapat sokongan semua ADUN pakatan pembangkang, namun beliau perlu mendapat 11 lagi undi, bukannya tiga seperti yang beliau jangkakan.

Katanya, berbanding Mukhriz yang kelihatan cukup terdesak hingga terpaksa bergantung kepada sokongan daripada ADUN pembangkang, Perdana Menteri pula sentiasa tenang dalam mencari penyelesaian terbaik bagi rakyat Kedah di sebalik krisis itu.

“Selaku Presiden, beliau perlu mendengar suara ketua-ketua bahagian UMNO yang menyatakan secara terbuka bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada Mukhriz dan Najib telah menyelesaikan krisis ini dengan cara terbaik,” ujar Raja Petra.

0 comment... add one now