Sabtu, 6 Februari 2016

Hans Isaac, Ziela Jalil Dan Norman KRU Terima Gelaran Dato' Dari Sultan Pahang

Tiga penggiat seni tanah air hari ini menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk bersempena ulang tahun ke-85 keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang disambut pada 24 Oktober tahun lepas, di Istana Abu Bakar di sini.

Mereka ialah Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, Norman Abdul Halim atau Norman KRU, Pengarah Urusan Pena Creative Pictures Sdn Bhd Norzilah Abdul Jalil atau Ziela Jalil dan Pengarah Urusan Tall Order Sdn Bhd Gerald, Hans Isaac.

Sesi kedua istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat kepada 254 penerima itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah.

Norman ketika ditemui pemberita berkata pengurniaan darjah kebesaran itu sebagai satu penghormatan bagi dirinya sebagai anak seni dan memberikan lebih semangat kepadanya untuk bekerja lebih baik lagi bagi memajukan industri kreatif tempatan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Sultan Ahmad Shah atas pengurniaan darjah tersebut.

“Saya akan lebih berusaha melakukan kerja yang dapat memberi kesan ke arah perpaduan termasuk menghasilkan filem dengan lebih memikirkan kesannya kepada masyarakat berbanding keuntungan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Ziela Jalil pula berkata pengiktirafan sedemikian menjadi penyuntik semangat kepadanya untuk terus menghasilkan karya terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata gelaran yang diterima itu sebagai inspirasi kepadanya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni mahupun kemasyarakatan.

“Secara tidak langsung boleh mengangkat martabat industri kreatif tempatan,” katanya.

Hans Isaac pula berkata mendapat darjah kebesaran itu merupakan satu pencapaian terbesar untuk dirinya sepanjang kerjaya beliau dalam industri seni tempatan.

“Pengurniaan darjah hari ini telah mengingatkan saya kembali kepada arwah ayah yang merupakan ADC (pengiring) kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang pada masa itu menjadi Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan