Dulu Cakap Lepas Dan Bermasalah, Kini Saya Berubah

Dahulu Gambit Saifullah, 31, terkenal dengan sikap suka menyendiri dan lepas mulut. Dia turut dilabel artis bermasalah khususnya membabitkan disiplin kerja.
Mengakui perkara itu, Gambit berkata, dia sudah berubah malah menyesal kerana banyak menolak peluang diberikan.

“Betul, dulu saya memang bermasalah. Saya tak pernah ambil serius peluang depan mata. Saya hanya fokus perkara yang kena dengan jiwa.

“Tak sangka sikap itu buat saya semakin jauh dari industri. Orang sekeliling mula mempertikaikan sikap saya.

“Namun segalanya berubah selepas saya berkunjung ke banyak negara. Melihat kesusahan segelintir masyarakat di sana membuatkan saya sedar banyak perkara termasuk lebih bersyukur,” katanya.

Jelas Gambit lagi, sikapnya yang suka berterus terang sering disalah anggap orang sekeliling sehingga mereka takut mendekatinya.

“Dalam apa juga keadaan, saya tidak akan hipokrit. Apa yang dirasakan tidak betul, saya akan tegur.

“Mungkin disebabkan itu orang ingat saya suka cakap lepas,” katanya.

Kini, pelakon filem Karipap Karipap Cinta itu kembali memeriahkan industri dengan semangat baru. Apa yang pasti, keperibadiannya jauh berbeza dari dulu.

“Sudah tiga tahun saya tidak berlakon. Sepanjang tempoh itu, saya banyak duduk di rumah kerana keliru memilih antara berlakon atau menerbitkan program.

“Selepas beberapa program diterbitkan menerusi syarikat saya, Eight Ball Productions, baru saya sedar lakonan masih menjadi minat utama,” katanya.

Merealisasikan hasratnya itu, Gambit akan membintangi filem Upin Ipin The Movie, hujung tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Gambit juga bakal muncul dalam drama bersiri Jasmine terbitan Global Station yang akan bersiaran di TV3 tidak lama lagi.

Belum sedia kahwin
Beralih sisi peribadi, Gambit nampaknya masih berpegang teguh pada prinsipnya yang tidak gemar berkongsi perkara itu dengan media dan peminat.

“Dari dulu saya begini. Namun itu bukan punca mengapa orang menjauhkan diri daripada saya.

“Jika berbual perkara lain, saya boleh bercerita panjang. Saya juga lebih suka bercakap dengan mereka yang suka berterus terang seperti saya. Bagi saya perbualan akan jadi lebih telus,” katanya.
Diusik mengenai perkahwinan, Gambit memaklumkan dia perlu melengkapkan diri dengan ilmu agama sebelum mendirikan rumah tangga.

“Saya menyasarkan akan berkahwin dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi. Bukan apa, sebagai lelaki saya kena ada asas agama yang kuat.

“Selain itu, saya perlu mengukuhkan kewangan. Pendek kata, banyak perkara perlu diambil kira. Saya sedang berusaha ke arah itu,” katanya yang mengakui berkawan dengan seseorang tetapi belum bersedia memberi sebarang komitmen.

0 comment... add one now