BoBoiBoy: The Movie sasar kutip RM25j


KUALA LUMPUR: Animonsta Studios Sdn Bhd selaku penerbit BoBoiBoy: The Movie menyasarkan kutipan sebanyak RM25 juta menerusi tayangan filem itu di tiga negara termasuk Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi merangkap pengarahnya, Nizam Razak, berkata filem animasi itu bakal memasuki 80 pawagam tempatan dan lebih 100 panggung di Indonesia dan Brunei.

Katanya, dijangka populariti siri animasi BoBoiBoy yang lebih dulu memancing perhatian penonton di 44 negara sejak lima tahun lalu memudahkan lagi laluan filem berkenaan menembusi pasaran luar.

"BoBoiBoy sudah menjadi jenama yang dipercayai sekali gus banyak pihak tidak sabar menanti hasilnya sebaik saja Animonsta Studios mengumumkan hasrat mengangkat siri itu ke layar lebar kira-kira tiga tahun lalu.

"Kita jangka selepas pasaran tempatan, filem animasi ini mampu melangkah lebih jauh. Potensi itu ditunjukkan menerusi maklum balas daripada pemain industri mahu pun pihak luar," katanya selepas
pelancaran runut bunyi filem berkenaan, di sini, hari ini.

Nizam berkata, pihaknya kini masih menunggu lampu hijau daripada pempamer di negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja yang menunjukkan minat dan pada masa sama meneroka
prospek edaran BoBoiBoy The Movie ke Asia Barat.

Sementara itu, filem dengan kos RM5 juta yang berkisar pengembaraan ala fiksyen BoBoiBoy bersama Yaya, Fang, Ying dan Gopal turut menampilkan tujuh watak baharu termasuk rakan mereka yang bernama Octobot.

"Namun pastinya plot kisah yang membawa mesej nilai setiakawan dan perjuangan ini berbeza dengan siri TV selain memaparkan elemen futuristik serta kehadiran makhluk asing," katanya.

0 comment... add one now