Khamis, 11 Februari 2016

Bila Lihat Bapa Sendiri Di Cemuh, Semestinya Seorang Anak Mempertahankan Maruah Ayahnya - Ahmad Bashah

ALOR SETAR: Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan yang beliau bukanlah menteri besar "stop-gap" malah bekerja tujuh hari seminggu untuk rakyat negeri itu.

"Saya adalah orang biasa...datang dari keluarga yang susah. Saya pernah bekerja menjual kuih, jadi ya...kenapa tidak, saya tidak kisah bekerja tujuh hari seminggu untuk rakyat negeri Kedah," katanya.

Bercakap dalam satu temuramah khas dengan Kumpulan Media Star di kediamannya di sini, Ahmad Bashah yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kedah yang ke-12 pada 4 Februari lepas mengantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, menambah yang beliau bukanlah seorang yang berprotokol malah pintu rumahnya sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja.

"Jangan anggap bila saya dah jadi menteri besar, dah tak boleh lagi datang ke rumah saya untuk berjumpa. Saya tetap seperti sebelum ini dan akan terus berjumpa dengan rakyat.

"Apa yang saya lakukan bukan baru, inilah gaya hidup saya sejak dulu. Saya orang Kedah dan tinggal di sini. Saya ada di Alor Setar boleh dikatakan sepanjang masa," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata tersebut turut memaafkan mereka yang selama ini mencerca, menghina dan mempertikai pelantikan dirinya sebagai menteri besar.

"Saya seorang yang tak simpan dalam hati. Bila ada yang mengutuk dan memfitnah saya tidur dalam majlis, saya tidak terasa hati atau menyimpan apa-apa rasa marah kerana itu adalah saya. Semua orang ada masanya akan terlelap tetapi itu tidak bermakna saya tidur. Saya dengar apa orang cakap.

"Jadi sudahlah...tak perlulah mengata macam-macam kat saya, atau sengaja nak cari sesuatu yang tidak baik kerana ini perbuatan yang tidak sepatutnya. Saya dah maafkan semua mereka," luahnya.

Ahmad Bashah berkata, berikutan prinsipnya yang tidak berdendam dan tidak "membawa mulut" mengenai perihal orang lain, beliau telah diberi pelbagai tanggungjawab dalam parti seperti bendahari perhubungan Umno negeri, naib ketua pemuda Umno Negeri malah pernah menjadi pengerusi dan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kedah.

"Dari dalam parti sehingga ke kalangan masyarakat, pelbagai cerita disampaikan kepada saya, tetapi saya jenis orang yang tidak menceritakan rahsia orang lain kepada sesiapa.

"Lepas dengar masalah kalau boleh tolong, saya akan cuba selesaikan, tetapi kalau tidak, saya tidak akan menceritakan hal itu kepada orang lain. Orang yang datang mengadu masalah kepada saya tahu dia datang dan pulang dengan yakin yang rahsia mereka selamat," cerita Ahmad Bashah sambil tersenyum.

Bercerita lebih lanjut, Ahmad Bashah berkata, bagaimana pun, cemuhan yang dilemparkan itu telah menyebabkan keluarganya sedikit sebanyak tersinggung.

"Anak-anak saya orang muda dan mereka sering layari media sosial, jadi bila lihat orang mencemuh bapa sendiri sendiri, mereka cuba mempertahankan saya. Namun bila tidak dapat menahan hinaan tersebut, seorang anak saya terpanggil untuk mempertahankan maruah saya.

"Saya tidak tahu yang dia pertahankan saya dalam media sosial, tetapi selepas diberitahu mengenai perkara ini saya meminta anak-anak untuk tidak menghiraukan hinaan dan cemuhan sebaliknya kita serah kepada Allah," ujarnya.
Ditanya apakah beliau bimbang perubahan pucuk pimpinan negeri akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri yang dipimpinnya sekarang, Ahmad Bashah berkata:

"Bagi saya perubahan MB ini bukanlah perkara baru di Negeri Kedah. Sepanjang 40 tahun saya terlibat dalam politik, saya telah melihat MB bertukar empat atau lima kali. Dari Tan Sri Osman Aroff kepada Tan Sri Sanusi Junid kemudian Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, selepas itu Mahadzir Khalid  dan diikuti Datuk Azizan Razak dari PAS dan selepas pilihan raya lalu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Apabila perubahan perlu berlaku, ia akan tetap berlaku. Ketika Tan Sri Osman Aroff menjadi MB, saya waktu itu adalah bendahari Badan Perhubungan Umno Negeri dan Naib Ketua Pemuda Umno Negeri dan saya juga adalah wakil rakyat.

"Saya menyaksikan bagaimana seluruh adun dan wakil rakyat menandatangani petisyen meminta Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) mengekalkan Tan Sri Osman Aroff tetapi Perdana Menteri akhirnya tetap dengan pendiriannya mengantikan beliau dengan Tan Sri Sanusi Junid.

"Akhirnya kami semua terima arahan dan kehendak pucuk pimpinan. Perkara yang sama sekarang berlaku terhadap Datuk Seri Mukhriz (Mahathir).

"Dalam kesemua perubahan kepimpinan MB Kedah ini, hanya sekali Kedah jatuh di tangan PAS. Ini berlaku bukan kerana adanya pergolakan dalam parti tetapi kerana beralihnya paten pengundian di kalangan pengundi Cina.

Dan PAS tewas di tangan Barisan semula juga bukannya sangat di pengaruhi oleh pergolakan yang berlaku di dalam PAS tetapi kerana rakyat Kedah sendiri dapat membandingkan pemerintahan PAS dengan Barisan Nasional (BN).

"Jadi saya bukanlah MB Stop-Gap...saya adalah MB untuk membantu rakyat Kedah maju ke hadapan melangkaui pilihan raya akan datang," ujarnya.


Tiada ulasan:
Write ulasan