Sabtu, 13 Februari 2016

Anjing Laut Lintas Jalan Setiap Hari Untuk Mengemis Ikan

WICKLOW (Ireland) – Seekor anjing laut digelar Sammy oleh penduduk sebuah kampung di Ireland melintas jalan di pantai di situ setiap hari untuk ‘mengemis’ ikan.

Sebuah video yang dirakamkan di Wicklow menunjukkan Sammy menghempas-hempaskan badannya untuk melintas jalan selepas naik dari sungai Broad Lough.

Dia juga sempat menunggu seketika untuk membiarkan kereta lalu-lalang.

Seorang lelaki yang nampaknya sudah biasa melihat kerenah anjing laut itu cuba mengusirnya menggunakan kerusi dan menyuruhnya kembali ke sungai, tetapi Sammy enggan berganjak.

Lelaki itu kemudian masuk ke restoran makanan laut di seberang jalan. Pada masa sama, Sammy terus cuba melintas jalan dengan disambut salakan beberapa anjing yang mungkin keliru dengan kehadirannya.

Lelaki terbabit kemudian dilihat keluar dari restoran berkenaan membawa seekor ikan yang dicampakkan ke dalam air sebelum Sammy mengejarnya ke dalam sungai dan memakan ‘habuannya.’

Sammy yang nyata tidak tahu malu kemudian naik semula ke jalan untuk meminta lagi makanan di restoran berkenaan.

Video itu berakhir dengan kenyataan: “Buat apa tangkap ikan kalau boleh mendapatkannya dengan mudah di restoran makanan laut terdekat?” – Agensi

Tiada ulasan:
Write ulasan