ambil pekerja baharu dengan kos yang tinggi tetapi tidak tahu boleh buat kerja atau tidak, RUGI

PUTRAJAYA: Kos yang perlu ditanggung majikan di bawah Program Penggajian dan Penempatan Semula pendatang asing tanpa izin (PATI) lebih rendah berbanding kos mengambil pekerja asing baharu yang sah, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Beliau berkata pendaftaran program itu yang bermula hari ini memerlukan majikan membayar sehingga kira-kira RM4,000 termasuk levi bagi setiap pekerja asing berbanding lebih RM10,000 bagi mendapatkan pekerja asing baharu yang sah.

"Perlu difahami bahawa kos ini melibatkan pelbagai urusan termasuk dengan pihak kedutaan.

"Jika majikan mendaftar, sekurang-kurangnya mereka mengenali pekerja itu dan tahu kebolehan mereka, berbanding ambil pekerja baharu dengan kos yang tinggi tetapi tidak tahu boleh buat kerja atau tidak," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Di bawah program itu, bagi setiap pekerja yang didaftarkan, majikan perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM800, kompaun kerana memiliki pekerja asing secara haram (RM500), Pas Lawatan Khas Sementara (RM60), bayaran pemprosesan (RM125) dan caj perkhidmatan (RM400) serta levi mengikut sektor pekerjaan.

Alwi berkata majikan juga tidak perlu takut untuk tampil mendaftarkan pekerja mereka di bawah program itu kerana mereka tidak akan dikenakan tindakan undang-undang walaupun memiliki pekerja asing secara haram.

"Mereka (pekerja asing) telah berada di sini dan program ini adalah langkah untuk pastikan mereka mempunyai dokumen yang sah, jadi kita minta majikan untuk bantu kerajaan mengatasi masalah berbangkit seperti masalah keselamatan," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bahawa tiada keperluan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke pasaran tempatan, Alwi berkata pada tahun lepas KDN menerima 352,981 permohonan daripada majikan untuk mendapatkan pekerja asing.

Menurutnya secara purata terdapat antara 350,000 hingga 500,000 permohonan diterima setiap tahun daripada majikan untuk memenuhi keperluan di sektor yang tidak diisi pekerja tempatan seperti perladangan, perkilangan dan pembinaan.

"Saya tidak tahu sama ada kenyataan itu dibuat sebelum melihat keperluan industri, tetapi kita ada rekod. Bahagian yang paling sibuk di KDN adalah Bahagian Pengurusan Pekerja Asing dengan kira-kira 400 individu berurusan setiap hari," katanya.

0 comment... add one now