Sabtu, 6 Februari 2016

Adik Achik vokalis baharu Spin


KUALA LUMPUR: Spin, yang pernah meletup dengan lagu Mengusung Rindu, memilih Awis, yang juga adik bekas vokalis mereka, Achik, sebagai penyanyi baharu kumpulan berkenaan.

Bersama single terkini berjudul Sakit Terpanah, kumpulan yang popular sekitar 1998 hingga 2005 itu menjadikan penyanyi berusia 30 tahun berkenaan sebagai vokalis selepas mengadakan sesi uji bakat yang menyaksikan beliau antara dua calon akhir mereka.

Mengikut pemain gitar merangkap ketua kumpulan itu, Aie, penyanyi terbabit dipilih bukan kerana dia ialah adik kepada bekas vokalis mereka, sebaliknya berdasarkan bakat dan kesungguhan ditunjukkan.

"Bukan mudah untuk kami meneruskan perjuangan kumpulan ini selepas ketiadaan Achik. Agak sukar sebenarnya untuk kami mencari vokalis baharu selepas kematiannya (Achik meninggal pada

April 2010 apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya).


"Kami cuba mencari semangat lama kumpulan ini. Untuk meneruskan perjuangan, kami mengadakan sesi uji bakat secara tertutup untuk mencari vokalis bersesuaian. Ramai yang datang menghadiri uji bakat, tidak kurang juga yang menghantar demo masing-masing.

"Selepas saringan dibuat, hanya dua penyanyi layak ke peringkat akhir dan seorang daripadanya ialah adik Achik sendiri. Akhirnya, kami sepakat memilih Awis sebagai vokalis baharu.

"Selain menunjukkan kesungguhan, kami juga melihat Awis tidak mempunyai niat kurang baik untuk menyertai kumpulan ini," kata Aie sambil memberitahu, sebahagian daripada peserta terbabit berhasrat menjadikan Spin sebagai batu loncatan untuk segera mencipta nama dalam dunia muzik.

Sementara itu, Awis berkata, dia berasa seperti memikul tanggungjawab besar bagi memastikan nama Spin diterima ramai, seperti yang pernah dilakukan abangnya.

Dia turut mengakui agak beremosi sebaik saja mendapat tahu terpilih sebagai vokalis kumpulan berkenaan.

"Saya akui sangat teruja dan gembira, malah pada masa sama turut sedih mengenangkan arwah yang sudah tiada lagi bersama kita," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Sakit Terpanah, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, bagi Awis adalah tidak adil untuk peminat membandingkan mereka berdua kerana suara Achik lebih nyaring dan lunak manakala vokalnya dikategorikan sebagai serak basah.

Single Sakitnya Terpanah yang dirakam pada September tahun lalu adalah ciptaan sepenuhnya Aiman atau lebih dikenali sebagai Zul 2 By 2. Mereka mengambil masa sebulan untuk menyiapkannya sebelum diterbitkan dua bulan kemudian.

Tiada ulasan:
Write ulasan