Sabtu, 6 Februari 2016

50 Biji Belian Di Tubuh Syatilla Melvin Semasa Nikah

Berlian dan wanita, umpama gandingan serasi yang sukar dipisahkan.

Permata indah itu dianggap seperti pelengkap kepada hiasan tubuh yang mempunyai nilai eksklusif kerana kesukaran untuk mendapatkannya sekali gus menjadikan harganya mahal.Mata pastinya tidak terlepas daripada melihat kilauan barangan kemas yang bertatahkan berlian, apatah lagi jika ia menyaluti tubuh raja sehari.
Pasangan pelakon Shaheizy Sam, 34 dan Syatilla Melvin, 25 yang bakal disatukan sebagai suami isteri pada 8 Februari ini cukup bertuah apabila menerima penajaan berbentuk barangan kemas berlian pada majlis mereka nanti.

Sebagai simbolik penyatuan dua hati, cincin bertatahkan berlian berbentuk hati bakal disarungkan di jari manis Syatilla, yang direka khas oleh Ceres, jenama barang kemas berlian terkenal di Starhill Gallery.

Pereka Jenama Serantau Ceres, Mohd Yunus Yeo berkata, rekaan cincin untuk Syatilla dibuat secara teliti selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk personaliti kedua-dua pasangan berkenaan.

"Cincin tunang dan cincin nikah untuk Syatilla sememangnya direka khas. Proses itu bermula dengan pemilihan berlian berdasarkan rekaan dan idea asal.

"Inspirasi rekaan cincin itu terhasil apabila melihat perwatakan pengantin itu sendiri, bagaimana pengantin lelaki dan bagaimana pengantin perempuan,” katanya ketika ditemui di butik Ceres baru-baru ini.

Mohd Yunus berkata, rekaan cincin berharga RM128,000 itu ringkas dan tidak terlalu kompleks selari dengan perwatakan merpati dua sejoli itu.

"Perwatakan Sam dan Syatilla adalah lebih kepada 'simple' kerana mereka ini tidak suka sesuatu yang kompleks, jadi rekaannya tidak rumit.

"Hasil daripada itu, saya tampil dengan rekaan yang klasik, tetapi elegan," katanya.

Pasangan itu turut memilih bentuk cincin yang lain daripada kebiasaan.

"Pada kebiasaannya, orang suka pilih berlian yang bulat, tetapi pasangan ini pilih lain sedikit, iaitu berbentuk hati, yang melambangkan cinta mereka.

"Berlian 1 karat berbentuk hati itu di tengah-tengah, dan dikelilingi dengan beberapa lagi berlian-berlian kecil.

"Secara keseluruhan, cincin Syatilla dianggarkan bertatahkan 40 hingga 50 biji berlian," katanya.

Pasangan ini dikhabarkan akan bertunang terlebih dahulu sebelum bernikah pada hari yang sama.

Untuk dua majlis itu, Ceres menghasilkan cincin pertunangan yang boleh diapit atau dipakai bersama dengan cincin nikah yang dibuat khas untuk mereka.

Mohd Yunus berkata, selepas menghasilkan beberapa lakaran, reka bentuk akhir yang dipersetujui kemudian dihantar ke Itali untuk dibuat sebelum siap dalam masa dua minggu.

Selain daripada cincin, tubuh pengantin perempuan juga akan disaluti perhiasan mewah daripada Ceres dari hujung rambut ke hujung kaki bernilai RM20 juta untuk lima majlis yang dirancang untuk mereka.

Pelakon yang popular menerusi drama Sha dan Shah itu juga akan memakai mahkota yang direka khas untuk majlis resepsi di Hotel Mandarin Oriental yang bernilai RM8 juta.

Antara aksesori yang bakal digayakan Sam dan Tilla ialah seperti rantai, gelang, pin tudung, kerongsang dan butang baju melayu yang kesemuanya bertatahkan berlian.

Mohd Yunus menambah, Ceres mengutamakan kepuasan pelanggannya apabila mereka boleh membuat rekaan sendiri bentuk barangan kemas yang diinginkan.

"Pelanggan akan mempunyai hak untuk datang dan pilih sendiri, dan lihat proses pembuatan daripada tiada apa-apa kepada barangan kemas yang siap.

"Rekaan lain di pasaran, anda boleh dapat di mana-mana sahaja, tetapi nilai ekslusif di Ceres apabila mereka boleh terlibat dalam proses rekaan seperti dalam buku komik. Itu yang istimewanya," katanya.

Ceres mempunyai pelanggan berprofil tinggi termasuk pernah menaja perkahwinan kerabat diraja, selain perkahwinan penyanyi Farhan Azizan, dua tahun lalu

Tiada ulasan:
Write ulasan