Ahad, 24 Januari 2016

Siapa Sangka Pelakon Cina Kacak Ini Pegang Watak Utama Dalam Filem Melayu


KUALA LUMPUR: Pelakon filem Ola Bola, JC Chee melihat kebolehannya bertutur dalam loghat utara sebagai satu kelebihan untuk dia menembusi pasaran filem Melayu.

Chee, 29, berkata, dia sudah terbiasa bercakap dalam loghat tersebut memandangkan dia dibesarkan dalam suasana kampung Melayu di Cuping, Perlis.

"Di Perlis masyarakat Cina agak kurang jadi kebanyakkan kawan saya adalah orang Melayu dan sehingga ke hari ini loghat utara itu melekat.

"Pada saya, ia satu kelebihan dalam mengembangkan karier saya di kalangan masyarakat Melayu kerana tidak ramai orang Cina yang mahir dengan loghat tersebut," katanya kepada mStar Online.


Chee ditemui pada majlis tayangan perdana filem Ola Bola yang diadakan di GSC Berjaya Times Square di sini, Isnin.

Filem arahan Chiu Keng Guan itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Bront Palarae, Muhd Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen.

Ia bakal menemui penonton di pawagam bermula 28 Januari ini.

Dalam pada itu, Chee berkata, penglibatannya dalam filem Ola Bola adalah satu permulaan baik untuknya dan berharap selepas ini dapat diberi peluang lebih banyak berlakon dalam filem atau drama yang memerlukannya berbahasa Melayu.
"Jujurnya bahasa Malaysia baku saya masih perlu perbaiki tetapi kalau menggunakan loghat utara memang mahir tetapi saya sanggup belajar dan mencuba sekiranya diberi peluang.

"Walaupun dalam Ola Bola saya tidak sepenuhnya bercakap dalam bahasa Melayu tetapi ia permulaan baik untuk saya," katanya.

Tambah Chee, dia juga kini sedang giat mengembangkan karier lakonannya di Taiwan dan China selepas pernah muncul dalam sebuah filem berjudul When Geeks Meets Serial Killer dua tahun lalu.

Sementara itu, bercakap mengenai Ola Bola, Chee berkata, dia teruja dengan hasil akhir naskhah berkenaan yang disifatkan bukan sahaja berkisar mengenai bola tetapi ia mempunyai maksud lebih dalam dan akan menyentuh hati penonton.

Kata Chee, filem itu mencerminkan keistimewaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan banyak mesej berguna diselitkan dalam jalan ceritanya.

"Ia bukan sahaja tentang kisah dan semangat kesukanan tetapi lebih daripada itu. Saya yakin semua rakyat Malaysia yang menonton akan menyukai filem berkenaan," ujarnya.


Tiada ulasan:
Write ulasan