Hubungan Dengan Uqasha Senrose Tetap Dingin, Kritik Atikah Suhaime Baca Skrip Masih Lemah - Pekin Ibrahim

PETALING JAYA: Pelakon Pekin Ibrahim secara jujurnya menegur keupayaan pelakon Atikah Suhaime yang disifatkannya masih lagi lemah dalam dunia lakonan.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 25, berkata, kelemahan mutu lakonan Atikah, 25, itu dapat dilihat ketika mereka bersama semasa sesi pembacaan skrip filem Volkswagen Kuning terbitan syarikat produksi Metrowelth.

“Setakat ini saya tidak yakin dengan kemampuan Atikah kerana masa sesi pembacaan skrip pun, cara dia cakap sahaja sudah boleh lihat kelemahannya,” kata Pekin kepada mStar Online.

Pekin berkata demikian pada sidang media dan pelancaran filem berkenaan di pejabat Metrowealth di sini pada Jumaat.

Volkswagen Kuning turut membariskan pelakon lain antaranya Dayang Areeda, Hanif Safuan, Azman Hassan dan Aida Othman.

Ia akan memulakan penggambaran pada awal Februari depan selama 15 hari di sekitar Lembah Klang dan Kuala Kangsar, Perak.

Pekin memberitahu, dia sudah meminta agar Atikah digantikan dengan pelakon lain tetapi pihak produksi masih mahu mengekalkannya.

Bagaimnanpun kata Pekin, dia yakin Atikah boleh dibentuk untuk menjadi pelakon yang bagus.

"Tapi saya percaya dia boleh dibentuk oleh pengarah untuk bawa watak dia dalam filem tersebut dengan baik," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Pekin tidak lagi mengambil tahu mengenai aktres Uqasha Senrose selepas mereka putus tunang sekitar Oktober 2013.

Pekin berkata, segala kontroversi yang berlaku terhadap Uqasha tiada kaitan dengan dirinya lagi selain menganggap wanita itu sudah matang untuk mengendalikan masalah sendiri.

Pekin berkata, walaupun hubungannya dengan aktres itu agak dingin, namun dia dan keluarga wanita itu masih baik.

"Saya dengan Uqasha memang dingin kalau jumpa dia di mana-mana majlis hiburan pun hanya tegur secara profesional sahaja.

"Tapi saya masih baik dengan kelurga dia, bapa dia selalu telefon bertanya khabar saya," katanya.

Pada Ahad lalu sebuah akhbar mendedahkan gambar percutian Uqasha yang membuka tudung bersama aktor Iqram Dinzly ketika bercuti di pulau Koh Lipe, Thailand.

0 comment... add one now